Total Pageviews

Friday 23 October 2015

Full Budget 2016 speech by YAB PM Najib Razak

*posting this here because the original website is a bit hard to read*

Ucapan Bajet Tahun 2016 Oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak Perdana Menteri Dan Menteri Kewangan

OKTOBER 23, 2015

JUMAAT, 23 OKTOBER 2015

“MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT”

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2016 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

MUKADIMAH

Tuan Yang Dipertua,

1. Saya mulai, dengan menyebut BismillahirRahmanirRahim, Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, Wa bihi Nastai’n.

2. Segala puji-puji bagi Allah Hu Ta’ala, yang telah menjadikan Tujuh Petala Langit dan Tujuh Petala Bumi,… juga,… yang telah mewujudkan keadaan gelap-gulita, ke alam terang benderang.

3. Demikian juga, limpahan salawat, ke atas Nabi Muhammad, Rasul Pilihan,… Pembuka bagi sesuatu yang terkunci, Penutup bagi yang terdahulu, penolak yang batil, pembela hak dan kebenaran.

Tuan Yang Dipertua,

4. Sejak Mac tahun 2009, saya telah membentangkan lebih 11 dokumen besar berkait ekonomi negara.

5. Termasuklah, Pakej Rangsangan Pertama, Pakej Rangsangan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-10 dan Rancangan Malaysia Ke-11, seterusnya Bajet 2010, hinggalah pada hari ini, akan dipersembahkan pula Bajet 2016.

6. InsyaAllah, jika diberi izin oleh Tuhan yang Maha Menyimpan segala Tahu dan rahsia setiap sesuatu, kita berdoa serta berharap agar terus berpeluang lagi, dapat membentangkan Bajet-Bajet pada tahun-tahun selanjutnya,… Amin.

7. Sesungguhnya, Bajet yang diangkat kali ini,… merupakan bagian daripada terjemahan Rancangan Malaysia Ke-11. Bajet ini adalah yang pertama, dalam rantaian 5 Bajet, sampailah terjulangnya negara tercinta ini kelak, menjadi sebuah watan, High Income Advanced Economy. InsyaAllah.

8. Sebelum itu, sebagai hamba-hambaNya yang beringat lagi bersyukur, marilah bersama, dengan rasa kerendahan hati, mengambil sempena dan iktibar daripada sejarah dan sirah, berasaskan Al-Quran, melalui mafhum pengertian surah An-Nisa’ ayat 58, seperti yang ditafsir oleh antaranya Imam Qurtubi, pabila menjadi pemimpin dan pemerintah, maka terserulah kepada kita, bagi menjaga hak-hak dan menghukum dengan saksama terhadap keperluan rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

9. Lantaran itu, sebelum diteruskan penyampaian ini, walau apa sekalipun diwajahkan di mana-mana, meski apa yang dilaporkan dalam media, berkait letak duduk dan keadaan Malaysia, kononnya, negara ini diambang muflis, berada dalam krisis ekonomi, nilai ringgit terjejas teruk, ekoran persepsi ketidakcekapan tadbir urus kewangan negara, serta pula dipertikai tentang tatacara perbelanjaan Kerajaan yang katanya tidak berhemah.

10. Makanya, berdasarkan ehwal yang dihebah-hebahkan itu, moleklah kiranya saya mengambil kesempatan dalam Dewan yang mulia ini, untuk memperjelaskan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya, serta rakyat Malaysia, yang sedang menonton dan mendengar di luar sana, supaya mendapat gambaran yang benar serta tepat.

Tuan Yang Dipertua,

11. Semenjak tahun 2009, janganlah sesekali kita lupa, satu persatu datangnya dugaan terhadap ekonomi negara. Kita telah berdepan dengan pelbagai ketidakkeruan ekonomi global dan pastinya kemelut iktisad domestik.

12. Alhamdulillah, meskipun telah ditantang dengan segala aral dan rintangan itu, Kerajaan terbukti mampu menangani dan mengatasinya dengan begitu berkesan.

Tuan Yang Dipertua,

13. Jika hendak disimpulkan, antaranya terdapat 6 pencapaian utama sebagai penanda kejayaan yang boleh diperbanggakan dalam mengangkat kembali kedudukan ekonomi negara, dari mana ia berada separuh dekad lalu.

Tuan Yang Dipertua,

14. Pencapaian pertama: Jika ditinjau situasi ekonomi semasa Malaysia, ia mampu berkembang sebanyak 5.3 peratus bagi separuh tahun pertama 2015, dan dianggarkan mencapai 4.5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun, meskipun, ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar yang perlahan iaitu 3.1 peratus pada tahun ini.

15. Dalam perkara ini, perlu kita ingat baik-baik, keadaan ekonomi sekarang, bak kata dalam bahasa Inggeris, there is no comparison whatsoever, berbanding tahun 1998. Nyatanya, pada ketika itu, telah berlaku krisis kewangan peringkat Asia, sehinggakan ekonomi negara menguncup kepada negatif 7.4 peratus.

16. Sungguhpun begitu, kita sedar, bahawa kita tidak dapat lari daripada menghadapi kelembapan ekonomi global, termasuklah dari segi penurunan harga komoditi terutamanya minyak, kelapa sawit dan getah, penyusutan nilai ringgit, pertumbuhan perlahan di negara-negara kuasa besar ekonomi dunia.

17. Justeru, pertumbuhan KDNK negara dijangka dapat berkembang pada kadar 4 hingga 5 peratus pada tahun 2016. Pertumbuhan ini, akan dipacu oleh pelaburan dan penggunaan swasta pada kadar 6.7 dan 6.4 peratus.

18. Eksport pula, tumbuh pada kadar 0.9 peratus dan import 1.5 peratus. Sektor pembinaan berkembang 8.4 peratus, perkhidmatan 5.4 peratus, manakala pembuatan sebanyak 4.3 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

19. Pencapaian Kedua: Secara konsisten kita telah dapat mengurangkan defisit fiskal Kerajaan, daripada paras 6.7 peratus kepada 3.2 peratus yang dijangka pada tahun ini.

Tuan Yang Dipertua,

20. Pencapaian Ketiga: Melalui Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang bermula pada tahun 2010, Kerajaan ini, telah meneruskan mujahadah pembasmian kemiskinan.

21. Hasilnya, dalam tempoh 5 tahun, kadar kemiskinan berkurang daripada 3.8 peratus pada tahun 2009, kepada kini 0.6 peratus pada tahun 2014. Malah, sebenarnya kemiskinan tegar telah hampir disifarkan.

22. Pencapaian Keempat: Kalau dikaji, statistik pengangguran pada tahun 1999 adalah 3.4 peratus.

23. Dengan kehendak Allah jua, hasil daripada pengurusan ekonomi negara yang berkesan, kita telah mengurangkan kadar pengangguran kepada 2.9 peratus dan Kerajaan telah berjaya mewujudkan sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan.

Tuan Yang Dipertua,

24. Pencapaian Kelima: Seramai 5 juta rakyat di kawasan luar bandar telah berjaya mendapat manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih.

25. Akhir sekali, Pencapaian Keenam: Rakyat telah mendapat pelbagai kemudahan seperti BR1M, Klinik 1Malaysia, UTC, RTC dan Kedai Rakyat 1Malaysia, demi meringankan kos sara hidup rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

26. Pada sudut lain, kemasukan pelaburan asing pula terus kukuh pada 22.4 bilion ringgit pada separuh pertama tahun ini, manakala indeks Bursa Kuala Lumpur mencatat 1,705 mata bersamaan nilai pasaran 1.675 trilion ringgit menjelang penutup bursa pada 22 Oktober 2015.

27. Walaupun ringgit menyusut nilai, rizab antarabangsa kekal tinggi sebanyak 418 bilion ringgit pada 15 Oktober 2015 yang mampu sebenarnya membiayai selama 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar jangka pendek.

28. Laginya, pada tahun hadapan, negara dijangka terus berada dalam inflasi terkawal, di antara 2 hingga 3 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

29. Ini menunjukkan bahawa realitinya, Malaysia, negara kita yang tercinta bukanlah negara yang gagal atau bankrap, sebaliknya kita masih stabil,… masih kukuh dengan economic fundamental dan terus berdaya saing.

Tuan Yang Dipertua,

30. Sebelum bingkisan Bajet tahun ini diteruskan, terdapat dua perkara mustahak yang wajar diberi penjelasan. Perkara pertama, adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST, yang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutamanya sejak awal tahun ini.

31. Dalam isu GST, Kerajaan berterima kasih kerana pematuhan dalam pendaftaran dan pengisytiharannya amat tinggi dan membanggakan.

32. Suka saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia, setakat ini, jumlah syarikat yang berdaftar dengan GST adalah hampir 400 ribu buah semuanya, dengan kadar patuh serahan atau submission mencapai lebih 90 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

33. Alhamdulillah, sesungguhnya keputusan Kerajaan melaksanakan GST adalah tepat, lebih-lebih lagi berikutan kejatuhan harga minyak kepada lebih 50 peratus daripada paras 100 dolar Amerika sebelum ini.

34. Faktanya, Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS menyumbang sejumlah dividen kepada Perbendaharaan pada setiap tahun. Jumlah sumbangan dividen ini, bergantung kepada naik turunnya harga minyak dunia.

35. Misalannya, dalam tempoh setahun di mana harga minyak adalah pada purata 100 dolar Amerika setong, pendapatan daripada dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 62 bilion ringgit.

36. Akan tetapi, senarionya berbeza, pabila harga minyak telah turun kepada paras sekitar 50 dolar Amerika setong. Pendapatan daripada dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 44 bilion ringgit pada 2015.

37. Harga minyak ini pula, dijangka akan kekal rendah pada 2016, dan kutipan hasil daripada sumber berkaitan minyak dianggar 31.7 bilion ringgit, atau penyusutan pendapatan Kerajaan lebih 30 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,

38. Jadinya, jika sebelum ini, dalam beberapa pengumuman rasmi, saya, bagi pihak Kerajaan ada menyebut bahawa rakyat usahlah bimbang, kerana hasil kutipan GST dikembalikan semula demi manfaat ramai, malah, dimaklumkan pula bagaimana ia dibelanjakan. Ini adalah benar apa yang Kerajaan hasratkan dan tidak ada apa-apa agenda yang terselindung.

39. Namun, keadaan telah berubah. Hasrat ini perlu diimbangi dengan realiti kedudukan kewangan negara, berdasarkan perkembangan harga minyak dunia yang tidak menentu seperti yang saya sampaikan tadi. Tetapi, disebabkan oleh kekurangan kutipan hasil petroliam, kutipan GST-lah yang terpaksa menjadi tampungan sebahagian besar daripadanya.

Tuan Yang Dipertua,

40. Sehubungan itu, pada tahun 2016, dalam perkiraan Kerajaan, sekira dan seandainya GST tidak dilaksanakan, dan kita masih dengan sistem SST seperti yang sebelumnya, hasil negara akan berkurangan sebanyak 21 bilion ringgit.

41. Jika dihalusi lagi, kalaulah kita kekal dengan SST, kutipan hanyalah sekadar 18 bilion ringgit berbanding GST iaitu sebanyak 39 bilion ringgit.

42. Akibatnya, defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus, dan bukan lagi 3.1 peratus seperti yang disasarkan pada tahun 2016.

43. Andai kata ini berlaku, Kerajaan terpaksa meminjam termasuk untuk membayar gaji penjawat awam, penarafan kredit negara pula akan diturunkan dan kos pinjaman untuk semua, seperti pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan, pastinya meningkat.

Tuan Yang Dipertua,

44. Di atas segalanya, bersyukurlah kita kepada Allah, kerana Kerajaan yang ada tetap bertegas dengan pendirian, mempunyai dengan izin, political will atau keberanian serta iltizam politik untuk melaksanakan GST… sekalipun,…sekalipun… keputusan ini ternyata mendapat pelbagai cabaran dan tidak popular.

45. Malah pihak seberang sana, yang mula-mula dulu menentang dengan begitu lantang dan keras, kini juga mula menerima GST, hatta telah memasukkannya pula dalam dokumen bajet mereka.

46. Ini jelas menunjukkan, pendirian pembangkang yang sentiasa berubah-ubah dan tidak konsisten.

Tuan Yang Dipertua,

47. Oleh itu, berdiri atas pendirian sedemikian, Kerajaan yang bertanggungjawab ini, akan terus melakukan keputusan-keputusan yang betul, waima tidak bersifat populis, demi,… mendahulukan rakyat dan kepentingan negara.

Tuan Yang Dipertua dan Rakyat Malaysia sekalian,

48. Oleh yang demikian, ternyatalah, GST ini sebetulnya merupakan satu sistem percukaian yang efisien. Maka sebab itulah, telah dilaksanakan di lebih 160 buah negara.

49. Tampaknya juga, meskipun keadaan kewangan negara terkekang, kita terus mendengar denyut nadi dan rintihan rakyat.

50. Kerana itu, setelah menerima maklum balas daripada pelbagai golongan masyarakat, termasuklah pihak NGO, dengan ini, sukalah saya mengumumkan bahawa, Kerajaan bersedia, melepaskan lagi pendapatan cukai GST terhadap beberapa barangan asas kehidupan seharian rakyat.

51. Tujuh langkah penambahbaikan layanan GST, berkuatkuasa menjelang 1 Januari 2016, adalah seperti berikut:

52. Pertama, pengenaan GST pada kadar sifar ke atas semua jenis Ubat Terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A, B, C dan D, serta tambahan sebanyak 95 jenama ubat over the counter, meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda, dari 4,215 kepada 8,630 jenama ubat.

53. Kedua: pengenaan GST pada kadar sifar ke atas barangan makanan berikut :
• Susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik;
• Dhal, atau kata orang utara kacang ‘parpu’, berasaskan kekacang daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih;
• Akar teratai atau lotus root dan sengkuang air atau water chestnut;
• Biji sawi;
• Gula merah; dan
• Untuk orang Sarawak,…mee kolok kering

54. Ketiga: Bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat dari Skim Kadar Rata di bawah GST, Kerajaan mencadangkan supaya, threshold jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawah skim ini diturunkan daripada 100 ribu ringgit kepada 50 ribu ringgit;

55. Dengan penurunan threshold, ia bererti, lebih ramai petani kecil boleh mendaftar di bawah skim ini dan mengenakan tambahan 2 peratus ke atas nilai jualannya, dan amaunnya boleh disimpan untuk menampung sebarang GST yang telah dibayar ke atas inputnya.

56. Keempat: Bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih di dalam industri aeroangkasa pula akan dibenarkan menyertai Approved Trader Scheme dan diberi pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang;

57. Kelima: Pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran;

58. Keenam: Kini, bagi industri minyak dan gas pula, pelepasan GST diberikan kepada pengimportan semula peralatan yang dieksport secara sementara, bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung; serta

59. Ketujuhnya: Pelepasan GST juga diberi untuk perolehan bahan dan peralatan mengajar, kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional yang menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.

Tuan Yang Dipertua,

60. Kerajaan menyedari bahawa ramai pengguna telefon bimbit terutamanya daripada golongan belia, bergantung kepada perkhidmatan telekomunikasi prabayar atau prepaid card.

61. Berhubung ini, para pengguna warga Malaysia, akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka. Langkah ini, adalah mulai 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016.

Tuan Yang Dipertua,

62. Seterusnya, bagi memantapkan struktur cukai supaya lebih kompetitif dan progresif, banjaran pendapatan bercukai bagi kadar cukai tertinggi ditingkatkan daripada 25 peratus, kepada 26 peratus bagi mereka yang berpendapatan antara 600 ribu ringgit dan 1 juta ringgit.

63. Sementara itu, mereka yang berpendapatan melebihi 1 juta ringgit, kadar cukai akan dinaikkan daripada 25 peratus kepada 28 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

PERUNTUKAN BAJET 2016

64. Bajet 2016 memperuntukkan 267.2 bilion ringgit berbanding 260.7 bilion ringgit peruntukan dipinda 2015. Daripada jumlah tersebut, 215.2 bilion ringgit adalah untuk perbelanjaan mengurus dan 52 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.

65. Di bawah peruntukan mengurus, 70.5 bilion ringgit adalah untuk Emolumen dan 36.3 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala sebanyak 106.6 bilion ringgit adalah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula diperuntukkan sebanyak 761 juta ringgit dan 1 bilion ringgit kepada perbelanjaan lain.

66. Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak 30.1 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 13.1 bilion ringgit merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan masyarakat.

67. Manakala, sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 5.2 bilion ringgit. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am iaitu sebanyak 1.6 bilion ringgit dan simpanan luar jangka sebanyak 2 bilion ringgit.

68. Bagi tahun 2016, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak 225.7 bilion ringgit, yakni peningkatan sebanyak 3.2 bilion ringgit berbanding 2015.

69. Dengan mengambil kira unjuran hasil dan perbelanjaan Kerajaan, defisit fiskal Kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada 2016.

Tuan Yang Dipertua,

70. Bajet ini dan bajet-bajet seterusnya akan berteraskan keseimbangan diantara Capital Economy dan People Economy. Disamping itu, kita perlu mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable dan membina sebuah negara yang kompetitif, progresif, bersahsiah dan morally strong, dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu.

Tuan Yang Dipertua,

71. Lantaran demikian, saya pohon membentangkan sebuah Bajet yang bertemakan “Mensejahtera Kehidupan Rakyat”, bertunjangkan 5 Keutamaan.

Tuan Yang Dipertua,

72. KEUTAMAAN PERTAMA: MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI NEGARA.

73. Langkah satu: Aktiviti pelaburan domestik akan terus dirancakkan dengan jangkaan sumbangan kepada KDNK pada 26.7 peratus bagi 2016. Ini akan dipacu oleh pelaburan swasta yang meningkat sebanyak 218.6 bilion ringgit serta disokong oleh pelaburan awam sebanyak 112.2 bilion ringgit.

74. Dalam langkah ini, terdapat sembilan projek dan inisiatif yang akan dilaksanakan:

Pertama: Membangun Malaysian Vision Valley meliputi keluasan tanah seluas 108,000 hektar dari Nilai ke Port Dickson seperti yang telah dibentangkan pada RMK-11, dengan unjuran pelaburan permulaan 5 bilion ringgit pada tahun 2016;

Kedua: Melaksana Cyber City Centre di Cyberjaya dengan nilai pembangunan hampir 11 bilion ringgit dalam tempoh 5 tahun;

Ketiga: Membangun Bandar Lapangan Terbang atau Aeropolis KLIA di kawasan seluas 1,300 ekar dan dijangka menarik pelaburan sebanyak 7 bilion ringgit;

Keempat: Pelaburan 6.7 bilion ringgit oleh Khazanah Nasional Berhad, dalam 9 projek domestik berimpak tinggi seperti dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan, pelancongan, perisian dan infrastruktur komunikasi;

Kelima: Khazanah Nasional juga memperuntukkan 500 juta ringgit untuk modal teroka dan dana ekuiti persendirian termasuk dana teroka modal pelancongan sebanyak 50 juta ringgit;

Keenam: Pelaburan seterusnya dianggarkan 18 bilion ringgit untuk tahun 2016, bagi Projek RAPID Complex di Pengerang, Johor;

Ketujuh: Untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta, antara projek yang sedang dilaksanakan adalah pembangunan Rubber City di Kedah dengan peruntukan 320 juta ringgit, Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak sebanyak 142 juta ringgit dan Jeti Minyak Kelapa Sawit di Sandakan, Sabah sebanyak 20 juta ringgit; dan

Kelapan: Tumpuan turut diberi kepada pembangunan industri Kimia, Elektronik dan Elektrikal, Mesin dan Peralatan, Aeroangkasa, Peranti Perubatan dan Perkhidmatan. Untuk itu, 730 juta ringgit disediakan kepada dana-dana di bawah MIDA; dan

Kesembilan: Bagi terus menggalakkan pelaburan semula oleh syarikat sedia ada dalam sektor pengilangan dan pertanian terpilih yang telah tamat tempoh Elaun Pelaburan Semula atau Reinvestment Allowance, insentif baharu Elaun Pelaburan Semula Khas akan diberikan.
Kadar tuntutan adalah 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak dan dibenarkan ditolak daripada 70 peratus daripada pendapatan berkanun untuk tahun taksiran 2016 hingga tahun taksiran 2018.

75. Langkah 2: Dalam mempergiatkan pasaran modal pula, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan beberapa inisiatif termasuk potongan cukai diberi ke atas kos penerbitan sukuk Sustainable and Responsible Investments dan Pengecualian duti setem sebanyak 20 peratus ke atas surat cara pembiayaan patuh syariah untuk pembelian rumah.

76. Langkah 3: Sememangnya, PKS memainkan peranan penting dalam membangunkan rantaian nilai perniagaan. Ia dijangka menyumbang kepada 41 peratus KDNK menjelang 2020. Untuk itu, lima tindakan berikut akan diambil:

Pertama: Tambahan satu bilion ringgit bagi Skim Dana Pembiayaan PKS Patuh Syariah sehingga 31 Disember 2017, dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan;

Kedua: 107 juta ringgit untuk Pelan Induk PKS bagi pemberian dana di pelbagai peringkat perniagaan;

Ketiga: 60 juta ringgit untuk Skim Anjakan Usahawan dan Skim Peningkatan Kapasiti serta Keupayaan PKS;

Keempat: Menubuhkan dana pinjaman mudah SME Technology Transformation Fund sejumlah 200 juta ringgit, di bawah SME Bank pada kadar faedah empat peratus; dan

Kelima: 18 juta ringgit untuk memperluas Projek Transformasi Kedai Runcit atau TUKAR, dan Projek Automative Workshop Modernisation atau ATOM.

77. Langkah 4: Seperti yang kita tahu, infrastruktur merupakan pemangkin kepada keseluruhan pembangunan ekonomi dan sosial negara.

78. Terkini, ingin saya maklumkan, bahawa, Malaysia menduduki tangga ke–25 di antara 160 negara yang disenaraikan dalam Laporan Indeks Pencapaian Logistik Bank Dunia 2014.

79. Sehubungan itu, Kerajaan akan terus menambahbaik infrastruktur logistik, termasuklah membina dan menambahbaik jaringan pengangkutan rel, serta lebuhraya pada 2016. Ini termasuk, Lebuhraya Damansara – Shah Alam, Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Klang, Lebuhraya Pulau Indah dan Lebuhraya Central Spine Road.

80. Untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibukota pula, 900 juta ringgit diperuntukkan untuk Projek Penyuraian Trafik Jalan Tun Razak, yang akan dilaksanakan secara kerjasama strategik awam-swasta.

81. Kerajaan juga akan mengkaji pembinaan lebuhraya pesisiran pantai Masjid Tanah ke Klebang dan dari Klebang ke Jambatan Syed Abdul Aziz, di Melaka.

82. Seterusnya, sebanyak 42 juta ringgit disediakan bagi pembinaan Lapangan Terbang Mukah, Sarawak dan menaik taraf lapangan terbang di Kuantan dan Kota Bharu. Kajian akan turut dilaksanakan, bagi pembesaran landasan di lapangan terbang di Batu Berendam, Melaka.

Tuan Yang Dipertua,

83. Demi keselesaan penduduk di kawasan bandar, sistem Pengangkutan Awam yang efisien sedang rancak dibangunkan. Ini semua dilaksanakan dengan peruntukan yang besar kerana kita mahu memudahkan kehidupan rakyat di kawasan bandar.

84. Izinkan saya memberi sedikit status terkini, tentang antara projek terbesar dalam sejarah negara, iaitu projek pengangkutan awam bersepadu MRT-LRT.

85. Bagi projek sambungan LRT Laluan Ampang, dengan jarak 18.1 kilometer, akan boleh kita naiki pada Mac 2016. Manakala, bagi projek sambungan LRT Laluan Kelana Jaya sehingga Putra Heights, dengan jarak 17.4 kilometer pula, akan boleh dinaiki pertengahan tahun 2016. Kedua-dua projek sambungan ini, bernilai 10 bilion ringgit.

86. Projek MRT jajaran Sungai Buloh – Semantan pula, juga dapat digunakan pada tahun 2016, pada bulan Disember. Manakala, Fasa 2 Semantan – Kajang dijangka siap pertengahan 2017. Projek ini, dengan jarak 51 kilometer sedang dilaksanakan dengan kos 32 bilion ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

87. Hasil daripada permintaan ramai, Kerajaan juga telah memulakan rangkaian perhubungan awam lain seperti berikut:

Pertama: Projek MRT II dari Sungai Buloh – Serdang- Putrajaya dengan jarak 52 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 28 bilion ringgit. Kerja pembinaan direncana bermula dalam suku kedua 2016 dan dijangka siap menjelang 2022;

Kedua: Projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara- Johan Setia, Klang dengan jarak 36 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 10 bilion ringgit. Ia mula dibina 2016 dan siap pada 2020. Disamping itu, Kerajaan juga akan meneruskan rundingan High Speed Rail dengan Kerajaan Singapura; dan

Ketiga: Bagi perkhidmatan awam bas, projek Bus Rapid Transit atau BRT KL-Klang pada kos melebihi 1.5 bilion ringgit, dan BRT Kota Kinabalu pada kos hampir 1 bilion ringgit akan dilaksanakan.

Tuan Yang Dipertua,

88. Untuk menambahbaik infrastruktur telekomunikasi pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyediakan 1.2 bilion ringgit, antara lain, untuk meningkatkan kelajuan internet luar bandar 4 kali ganda dari sehingga 5 Megabit sesaat, kepada 20 Megabit sesaat,. National Fiber Backbone Infrastructure, Jalur lebar berkelajuan tinggi dan sistem kabel dasar laut.

89. Selain itu, 250 juta untuk projek pendigitalan penyiaran nasional bagi meningkatkan kualiti audio visual dan memberi nilai tambah kepada kandungan TV serta transaksi data interaktif.

Tuan Yang Dipertua,

90. Memang dari dahulu lagi, semenjak merdeka, kesejahteraan penduduk luar bandar, menjadi keutamaan kita. Mana mungkin kita meminggirkan mereka. Liputan jalan luar bandar telah meningkat daripada 46 ribu pada 2009 kepada 51 ribu kilometer, 98 peratus kawasan luar bandar telah mendapat bekalan elektrik, dan hampir 95 peratus mendapat bekalan air.

91. Kerajaan akan terus melaksanakan usaha pembangunan infrastruktur kawasan luar bandar seperti berikut:

Pertama: 1.4 bilion ringgit bagi membina serta menaik taraf jalan luar bandar sepanjang 700 kilometer di seluruh negara. Selain itu, 200 juta ringgit lagi disediakan bagi menaik taraf jalan di kawasan penempatan FELDA;

Kedua: 878 juta ringgit untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, yang membabitkan 10 ribu buah rumah. 568 juta ringgit bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar untuk 3 ribu buah rumah;

Ketiga: 60 juta ringgit untuk Program Ameniti Sosial, terutamanya projek perparitan bagi mencegah berlakunya banjir. Tumpuan diberikan kepada negeri-negeri yang terlibat banjir seperti Kelantan, Kedah, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak;

Keempat: Sebagai pemangkin keusahawanan di kawasan luar bandar dan komuniti desa, 70 juta ringgit untuk meneruskan Program Rural Business Challenge dan Program Desa Lestari; serta

Kelima: 67 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Kenderaan Bas MARA, untuk pengendalian pengangkutan bas di laluan yang tidak ekonomik di luar bandar.

Tuan Yang Dipertua,

92. Langkah Kelima: Sektor pelancongan merupakan sektor yang paling berpotensi untuk menjana ekonomi negara dalam keadaan kini. Untuk 2016, Kerajaan mensasarkan 30.5 juta pelancong yang dijangka menyumbang sebanyak 103 bilion ringgit kepada ekonomi negara. 1.2 bilion ringgit pula diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan untuk tujuan ini.

Tuan Yang Dipertua,

93. Tambahan lagi, permohonan visa secara atas talian atau online application, akan dilaksanakan bermula dengan negara China, India, Myanmar, Nepal, Sri Lanka, Amerika Syarikat dan Kanada.

94. Di samping itu, untuk memudahkan pelancong dan pelawat untuk berkunjung ke Malaysia, Kerajaan akan melaksanakan e-Visa menjelang pertengahan 2016.

95. Seterusnya, bagi mengambil peluang atas kedudukan Ringgit, kini, dan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong, pengecualian cukai pendapatan sedia ada sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun diberikan kepada pengusaha pelancongan dilanjutkan mulai tahun taksiran 2016 sehingga tahun taksiran 2018.

Tuan Yang Dipertua,

96. Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti ekonomi dalam sektor pertanian, adalah sumber makanan negara dan merupakan tempat pergantungan pendapatan bagi petani, pesawah dan nelayan.

97. Sehubungan ini, 5.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Antara program yang akan dilaksanakan:

Pertama: 450 juta ringgit bagi pelbagai program berimpak tinggi seperti program penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta geran pemadanan dan penyelidikan produk herba dan penternakan ikan dalam sangkar;

Kedua: 180 juta ringgit bagi menaiktaraf infrastruktur saliran dan pengairan di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu;

Ketiga: 190 juta ringgit kepada FAMA, bagi tujuan Program Penurunan Harga, dengan menambah 50 buah lagi Pasar Tani dan mewujudkan 150 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia atau ABR1M yang baru. 40 peratus daripada barang jualan ABR1M, adalah barang-barang basah seperti ikan dan sayur yang harganya, dianggarkan 5 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran; dan

Keempat: 90 juta ringgit diperuntukkan untuk Program Pembangunan Agropreneur Muda dalam bentuk geran in-kind, Dana Pembiayaan Usahawan, penjenamaan semula MARDI, Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan; serta pelaksanaan Projek Ladang Pengganda untuk penternakan lembu dan ladang ayam kampung.

98. Dalam mengolah dasar sesuai dengan keadaan ekonomi terkini, Kerajaan mencadangkan galakan cukai bagi aktiviti pengeluaran bahan makanan dilanjutkan sehingga 2020. Insentif yang disediakan adalah seperti berikut:

Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang menjalankan projek pengeluaran bahan makanan, akan diberi potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan yang dibuat;

Kedua: Syarikat yang menjalankan projek baharu pengeluaran bahan makanan pula diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun; dan

Ketiga: Syarikat sedia ada yang menjalankan projek pembesaran pula, juga diberikan insentif yang sama untuk tempoh 5 tahun.

99. Skop insentif juga akan diperluas kepada ternakan rusa, tanaman cendawan, kelapa, rumpai laut, lebah madu dan kelulut serta tanaman makanan ternakan seperti ubi keledek dan ubi kayu.

Tuan Yang Dipertua,

100. Sehubungan dengan tindakan-tindakan tadi, Kerajaan akan melipat-gandakan sokongan untuk memperkukuhkan eksport negara.

101. Dengan itu, 235 juta ringgit diperuntukkan kepada MATRADE, untuk Program Promosi 1Malaysia, Dana Eksport Perkhidmatan dan Dana Promosi Eksport.

102. MATRADE dan SME Corp juga akan meningkatkan keupayaan PKS dan syarikat peringkat pertengahan atau mid-tier, untuk mengeksport barangan dan perkhidmatan ke luar negara.

103. Seterusnya, bagi mempelbagaikan penggunaan matawang asing untuk urusan perdagangan pula, Bank Negara Malaysia menyediakan kemudahan credit swap Ringgit-Renminbi kepada bank tempatan.

104. Pada masa ini, PKS boleh menuntut pengecualian cukai pendapatan sebanyak 10 atau 15 peratus daripada nilai peningkatan eksport. Untuk terus meningkatkan eksport, PKS diberi kelonggaran mematuhi syarat nilai tambah iaitu 30 peratus kepada 20 peratus, dan 50 peratus kepada 40 peratus bagi produk perkilangan. Kelonggaran ini akan diberikan bagi tahun taksiran 2016 hingga 2018.

105. Bagi menggalakkan perkhidmatan penilaian dan pematuhan piawaian antarabangsa dilakukan di dalam negara, Kerajaan akan memberi galakan untuk penubuhan Independent Conformity Assessment Bodies atau ICAB.

Tuan Yang Dipertua,

106. Setakat hari ini, Malaysia telah menandatangani 13 perjanjian perdagangan bebas atau FTA iaitu 6 secara serantau melalui ASEAN dan 7 secara dua hala.

107. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, di mana jumlah dagangan adalah sekitar 150 peratus melebihi KDNK, Kerajaan telah menerima secara prinsipnya, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPP. Walaubagaimanapun, pertimbangan secara muktamad akan dibuat di Parlimen kelak.

Tuan Yang Dipertua,

108. KEUTAMAAN KEDUA: MENINGKATKAN PRODUKTIVITI, INOVASI DAN TEKNOLOGI HIJAU. Lonjakan inovasi dan kreativiti adalah kritikal untuk meningkatkan produktiviti kita. Penggunaan teknologi hijau akan turut membantu melestarikan sumber-sumber asli negara.

109. Oleh yang demikian, Kerajaan mensasarkan pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.7 peratus setahun melalui:

110. Langkah Satu: Bagi menjadikan negara sebagai hab teknologi yang kompetitif di rantau ini, 1.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

111. Lantaran, 2016 akan diisytiharkan sebagai Tahun Pengkomersilan Malaysia, dalam melonjakkan hasil produk R&D oleh institusi penyelidikan tempatan. Maka, inisiatif- inisiatif berikut akan dilaksanakan:

Pertama: PKS yang membuat perbelanjaan untuk projek R&D sehingga 50 ribu ringgit bagi setiap tahun taksiran, layak menuntut potongan cukai dua kali secara automatik. Kemudahan ini diberikan bagi tahun taksiran 2016 sehingga 2018;

Kedua: 100 juta ringgit kepada Agensi Inovasi Malaysia;

Ketiga: 200 juta ringgit di bawah Skim Dana Lonjakan Teknologi dan Inovasi oleh Malaysia Debt Ventures Bhd;

Keempat: 35 juta ringgit kepada MaGIC, sebagai Peneraju Hab Keusahawanan dan Inovasi Serantau, termasuk 10 juta ringgit sebagai dana permulaan untuk Corporate Entrepreneurs Responsibility Fund;

Kelima: 30 juta ringgit untuk pelbagai program keusahawanan generasi muda seperti Global Entrepreneurship Community, BAHTERA, GREAT, 1MET, National Innovation Competition serta Projek Perintis Coding di sekolah; dan

Keenam: Bagi menggiatkan aktiviti demand driven innovation, pada tahun 2016, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit untuk Public-Private Research Network.

Tuan Yang Dipertua,

112. Langkah Dua: Bagi mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam sektor pembinaan, Kerajaan akan menggalakkan lagi penggunaan teknologi Industrialised Building System atau IBS. Sehubungan itu, Kerajaan menggalakkan lebih banyak syarikat menggunapakai teknologi IBS.

113. Bagi tujuan ini, dana khas IBS Promotion Fund sebanyak 500 juta ringgit disediakan melalui SME Bank, sebagai pinjaman mudah kepada pemaju dan kontraktor kategori G5 dan ke bawah.

114. Langkah Tiga: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan melaksanakan pelbagai usaha teknologi hijau termasuk penyediaan bekalan air bersih, melalui pembinaan loji rawatan air, dengan peruntukan 877 juta ringgit. 515 juta ringgit pula, diperuntukkan bagi meningkatkan mutu bekalan elektrik di Sabah.

115. Kerajaan turut mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau sehingga 40 peratus KDNK pada tahun 2020, melalui:

Pertama: Pelaksanaan Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik termasuk proses audit tenaga dengan peruntukan 45 juta ringgit;

Kedua: Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari atau SEDA melaksanakan Skim Pemeteran Tenaga Bersih, dengan kuota 100 MW setahun, dalam menggalakkan penggunaan solar photovoltaic; dan

Ketiga: Melanjutkan tempoh pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sehingga 31 Disember 2017, dengan dana sebanyak 1.2 bilion ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

116. KEUTAMAAN KETIGA: MEMPERSIAGA MODAL INSAN.
Perkara ini amat kritikal untuk masa depan negara. Justeru Kerajaan akan mengambil langkah-langkah seperti:

117. Langkah 1: Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebanyak 41.3 bilion ringgit akan diperuntukkan pada 2016.

118. Antara lain, Kerajaan akan membina:
• 30 sekolah rendah;
• 27 sekolah menengah;
• 4 buah MRSM di Sik, Kedah, serta Ketereh, Tanah Merah, Kelantan, Bagan Datoh, Perak; dan
• 5 buah Sekolah Berasrama Penuh di Alor Gajah, Melaka, Pendang, Kedah, Segamat dan Ledang di Johor dan Jerantut, Pahang.

119. Untuk peringkat kelas prasekolah pula, 44.6 juta ringgit diperuntukkan untuk pelbagai program di 9,113 buah kelas seluruh Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

120. Untuk meningkatkan Penguasaaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, 135 juta ringgit diperuntukkan bagi program Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris.

121. Oleh kerana, Bahasa Inggeris amat penting dalam persaingan global semasa, maka dua lagi inisiatif, iaitu Dual Language Programme dan Highly Immersive Programme akan dilaksanakan secara optional dengan kos 38.5 juta ringgit. Dalam hal ini, 300 buah sekolah telah dikenal pasti sebagai projek perintis.

122. Bagi meringankan tanggungan ibubapa untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak, bantuan 100 ringgit akan diteruskan. Mulai Januari 2016, ia hanya dikhususkan kepada pelajar sekolah dari kalangan isi rumah berpendapatan 3 ribu ringgit ke bawah. Ini memanfaatkan 3.5 juta pelajar dengan peruntukan 350 juta ringgit.

123. Selain itu, program rancangan makanan tambahan yang melibatkan 550 ribu pelajar dari keluarga miskin yang tersenarai dalam eKasih akan ditambah baik.

124. Program ini, yang sebelumnya hanya tertakluk kepada makanan waktu rehat, akan diperluaskan dengan kos tambahan 173 juta ringgit untuk sarapan pagi. Kos keseluruhan program ini sebanyak 423 juta ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

125. Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan juga terus menyediakan peruntukan untuk membangunkan dan menyelenggara Fasiliti Pendidikan untuk Sekolah Kebangsaan; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil; Sekolah Mubaligh; Sekolah Berasrama Penuh; Sekolah Agama Bantuan Kerajaan; MRSM; Sekolah Pondok yang berdaftar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cina atau Conforming School yang mengguna pakai kurikulum Kebangsaan. Peruntukan bagi tujuan ini, keseluruhannya berjumlah 500 juta ringgit.

126. Langkah Dua: Pembiayaan biasiswa diteruskan dengan agihan, antaranya seperti berikut:
• 1.65 bilion ringgit melalui Jabatan Perkhidmatan Awam;
• 288 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan;
• 250 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan Tinggi; dan
• 258 juta ringgit melalui Kementerian Kesihatan.

127. Selanjutnya, dalam menggalakkan lagi pendidikan tinggi, sukacita saya umumkan, had maksima pelepasan cukai ke atas yuran pengajian pendidikan tinggi bagi pembayar cukai individu, dinaikkan kepada 7 ribu ringgit daripada 5 ribu ringgit setahun.

128. Ini dilengkapkan lagi dengan penerusan Program Baucar Buku 1Malaysia yang bernilai 250 ringgit, bagi 1.2 juta pelajar. Untuk mengelakkan salah guna baucar ini, kaedah penebusan akan diperkemaskan hanya di kedai-kedai buku yang diiktiraf.

Tuan Yang Dipertua,

129. Langkah Tiga: Dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan pekerja, kita mensasarkan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu, adalah pekerja berkemahiran TVET menjelang 2020. Sejumlah 4.8 bilion ringgit diperuntukkan kepada 545 Institusi TVET di bawah Bajet ini.

130. Dalam usaha ini juga, MITI akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kemahiran Industri bagi menyelaras program TVET dengan kerjasama pihak industri.

131. Selain daripada itu, lebih 330 ribu pelatih akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini melalui antaranya program-program berikut:

Pertama: 585 juta ringgit untuk peralatan latihan TVET di Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran MARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, GiatMARA dan Kolej Vokasional;

Kedua: 350 juta ringgit untuk membiayai program di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran; dan

Ketiga: 80 juta ringgit untuk penubuhan Akademi Pelancongan di Kolej Komuniti Kota Kinabalu, Kolej Vokasional Sandakan serta Institut Latihan Perindustrian Serian, Sarawak.

Tuan Yang Dipertua,

132. Langkah Empat pula, berkenaan Memperkasa Belia, Komuniti dan NGO. Bagi langkah ini, Bajet 2016 memperuntukkan 930 juta ringgit kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi inisiatif berikut:

Pertama: 280 juta ringgit untuk latihan teknikal dan vokasional di Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara;

Kedua: 50 juta ringgit untuk meningkatkan aktiviti pembangunan belia dalam kegiatan ekonomi dan keusahawanan;

Ketiga: 145 juta ringgit untuk mempersiapkan atlet negara untuk menghadapi cabaran Sukan SEA ke 29, dan Sukan Para ASEAN ke 9 pada tahun 2017 di Kuala Lumpur;

Keempat: 75 juta ringgit untuk terus melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia melalui Program Pembangunan Podium Sukan Elit;

Kelima: 22 juta ringgit untuk membina 2 Kompleks Sukan di Bagan Datoh dan Kuantan; dan

Keenam: 360 juta ringgit untuk menambahbaik Program Latihan Khidmat Negara bagi 20 ribu pelatih. Ia melibatkan kurikulum baru seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kemahiran teknikal.

133. Akhir sekali, 160 juta ringgit disediakan untuk NGO-NGO, bagi melaksanakan program berasaskan pembangunan komuniti, perpaduan, kebajikan masyarakat, kesihatan dan keselamatan.

Tuan Yang Dipertua,

134. Langkah Lima, memfokus kepada Kualiti Tenaga Kerja.Bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, program seperti berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Memperuntukkan 30 peratus daripada Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia, sebagai dana terkumpul bagi melaksanakan program latihan mengikut keperluan industri setempat di Sabah dan Sarawak, serta Outplacement Centre bagi melatih semula pekerja yang telah diberhentikan; dan

Kedua: Melatih 15 ribu peserta melalui program Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M dengan kos 250 juta ringgit yang akan dibiayai sepenuhnya oleh GLC.

Tuan Yang Dipertua,

135. Untuk Menambahbaik Pengurusan Tenaga Kerja Asing pula, sebanyak 77 juta ringgit akan diperuntukkan oleh PSMB bagi menjalankan program seperti Train & Replace dalam bidang terpilih seperti hospitaliti, perkapalan dan pengangkutan.

Tuan Yang Dipertua,

136. Kerajaan terus komited dengan hasrat untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita di peringkat membuat keputusan dalam sektor awam dan swasta. Ini termasuklah di peringkat Lembaga Pengarah; dan Kerajaan akan sentiasa memantau pencapaian dasar ini.

Tuan Yang Dipertua,

137. KEUTAMAAN KEEMPAT: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA. Perlu saya tegaskan, bahawa pemerkasaan Bumiputera adalah agenda nasional dan ini tentunya, merangkumi pembangunan masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

138. Sebanyak 150 juta ringgit disalurkan kepada TERAJU untuk pelaksanaan pelbagai program termasuk Skim Usahawan Permulaan Bumiputera dan Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi

139. 150 juta ringgit diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk melaksanakan program Peneraju Tunas, Peneraju Profesional serta Peneraju Skil dan Iltizam.

140. Manakala, kepada MARA pula, diperuntukkan 3.7 bilion ringgit, termasuk menaja pengajian 72 ribu pelajar Bumiputera di peringkat pendidikan tinggi.

141. Bagi memantapkan pemilikan ekuiti serta memperhebat keusahawanan dan perniagaan Bumiputera, peruntukan akan diberikan seperti berikut:

Pertama: 400 juta ringgit kepada Dana Ekuiti Nasional Berhad atau EKUINAS;

Kedua: 250 juta ringgit kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad;

Ketiga: 150 juta ringgit kepada Pelaburan Hartanah Berhad; dan

Keempat : 100 juta ringgit sebagai pinjaman kepada UDA Holdings untuk tujuan pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur.

Tuan Yang Dipertua,

142. Manakala, untuk agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang meliputi jajaran sepanjang 1,090 km, dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dengan anggaran kos sebanyak 16.1 bilion ringgit.

Di Sabah pula, fasa 1 lebuhraya ini, akan mula dibina pada 2016 meliputi 706 kilometer, bermula dari Sindumin ke Tawau, dengan anggaran kos 12.8 bilion ringgit. Sukacitanya saya berkongsi sekali lagi, Lebuhraya Pan Borneo ini akan bebas daripada sebarang bayaran tol;

Kedua: Pengangkutan penumpang udara merupakan antara mod utama pengangkutan bagi penduduk pedalaman, di Sabah dan Sarawak serta Labuan. Maka, perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Rural Air Services dikecualikan daripada GST;

Ketiga: Sebagai satu program baru, 70 juta ringgit disediakan melalui Bank Simpanan Nasional dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, bagi pinjaman tanpa faedah untuk tujuan membina rumah-rumah panjang dengan had pinjaman 50 ribu ringgit untuk setiap unit di rumah panjang;

Keempat: 70 juta ringgit sebagai subsidi baja padi huma disediakan untuk meningkatkan bekalan makanan dan pendapatan penanam padi huma, yang meliputi kawasan seluas 65 ribu hektar di Sarawak, dan 11 ribu hektar di Sabah;

Kelima: 260 juta ringgit disediakan untuk Program 1Harga 1Sarawak dan Program 1Harga 1Sabah bagi memastikan keseragaman harga barangan terpilih di seluruh negara;

Keenam: 115 juta ringgit disediakan khusus bagi Program Khas Bumiputera Sabah dan Sarawak, seperti untuk projek native customary rights, yang merangkumi prosedur-prosedur pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat, serta melibatkan kos membina native courts, atau mahkamah-mahkamah adat. Bagi projek native customary rights, 20 juta daripada jumlah tersebut untuk pemetaan tanah di Sabah, dan 30 juta ringgit pula, untuk tujuan yang sama di Sarawak; dan

Ketujuh: Meningkatkan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia di pendalaman Sabah dan Sarawak, termasuk pembelian bot dan kenderaan baru.

Tuan Yang Dipertua,

143. KEUTAMAAN KELIMA: MERINGANKAN KOS SARA HIDUP RAKYAT. Hal ini, adalah amat dekat di hati saya dan Kerajaan. Makanya, pelbagai inisiatif akan dilakukan melalui:

144. Langkah Satu: Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah B40, di mana:

Pertama: TEKUN akan menyediakan 600 juta ringgit yang meliputi 500 juta ringgit untuk usahawan Bumiputera, dan 100 juta ringgit untuk 10 ribu usahawan India, melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Selain itu, 50 juta ringgit disediakan oleh SME Bank untuk membantu usahawan kecil India;

Kedua: Tambahan 200 juta ringgit kepada dana sedia ada untuk Amanah Ikhtiar Malaysia, bagi kemudahan pembiayaan mikro kepada isi rumah B40;

Ketiga: 100 juta ringgit disediakan di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India yang melibatkan kerjasama NGO dengan Institut Latihan Kemahiran Swasta;

Keempat: Tambahan 90 juta ringgit sebagai pinjaman mikro kredit kepada penjaja dan peniaga-peniaga kecil kaum Cina yang termasuk 50 juta ringgit untuk KOJADI.

Seterusnya, 40 juta ringgit bagi melaksanakan projek infrastruktur dan program pinjaman mudah kepada penduduk kampung-kampung baru Cina bagi pembayaran premium tanah dan membaik pulih rumah;

Kelima: 50 juta ringgit kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, untuk Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program Peningkatan Pendapatan. Melalui kedua-dua program ini, peserta akan mendapat manfaat latihan kemahiran dan juga bantuan berbentuk aset serta bahan mentah; dan

Keenam: Menyediakan 100 juta ringgit kepada Institusi Latihan Kemahiran Swasta dan NGO bagi meningkatkan kemahiran B40 untuk mereka mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan.

Tuan Yang Dipertua,

145. Sejak dulu lagi, Kerajaan ini sungguh prihatin terhadap kebajikan dan kemajuan masyarakat Orang Asli. Untuk ini, sebanyak 300 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan:

Pertama: Pembangunan Perkampungan Bersepadu antaranya di Sungai Siput, Perak yang merangkumi pembinaan jalan perhubungan, penyediaan bekalan elektrik dan air terawat dengan peruntukan 80 juta ringgit;

Kedua: Bantuan makanan tambahan, wang saku dan tambang pengangkutan sekolah sebanyak 45 juta ringgit; dan

Ketiga: Projek pembangunan ladang getah dan kelapa sawit serta tanaman kontan, menerusi Projek Pembangunan Ekonomi Orang Asli sebanyak 25 juta ringgit.

146. Untuk golongan B40 lagi, program eRezeki dan eUsahawan akan diperluaskan ke seluruh negara, untuk menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan mereka. Kerajaan mensasarkan 100 ribu dari kalangan B40 mendapat manfaat dengan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit, yang disediakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,

147. Untuk Golongan Pesawah, Pekebun Kecil dan Penoreh Getah pula, Bajet kali ini menyediakan 852 juta ringgit kepada RISDA dan FELCRA untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan pendapatan dan produktiviti.

148. Kerajaan bercadang menambahbaik Insentif Pengeluaran Getah atau IPG. Untuk ini, sukacita saya umumkan, paras pengaktifan IPG dinaikkan daripada 4 ringgit 60 sen, kepada 5 ringgit 50 sen sekilogram, bagi getah SMR20 Freight On Board. Bagi getah skrap atau cuplumps di peringkat ladang pula, dinaikkan daripada 1 ringgit 75 sen, kepada 2 ringgit 20 sen sekilogram.

149. Sebagai ilustrasi, berdasarkan purata pengeluaran 250 kilogram sebulan bagi setiap hektar, pemilik kebun seluas 2 hektar dijangka mampu meraih pendapatan seribu ringgit sebulan. Ini adalah pada harga pasaran getah skrap 2 ringgit sekilogram.

150. Kini, dengan bayaran tambahan IPG sebanyak 20 sen bagi setiap kilogram, pendapatan keseluruhan pemilik kebun tersebut akan meningkat kepada 1,100 ringgit sebulan.

151. Dengan penambahbaikan IPG ini juga Tuan Yang Dipertua, jikalau senario tadi hanya merujuk kepada seorang pemilik kebun, secara keseluruhannya pula, melalui Bajet ini seramai 300 ribu pekebun getah akan menerima manfaat tambahan daripada Kerajaan. Jumlah peruntukan yang dianggarkan adalah sebanyak 200 juta ringgit.

152. Selanjutnya, bagi menggalakkan petani meningkatkan mutu padi dan hasil tuaian mereka, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif Pemutuan Sebenar Padi dan menambahbaik Skim Subsidi Harga Padi, mulai 1 Januari 2016.

153. Pemutuan Sebenar Padi adalah berasaskan penyeragaman harga padi pada paras 1,200 ringgit setiap tan metrik. Sebagai pelengkap kepada inisiatif ini, Kerajaan juga meningkatkan kadar SSHP dari 248 ringgit 10 sen, kepada 300 ringgit bagi setiap tan metrik.

154. Maksudnya, sekiranya seseorang petani itu menghasilkan 6 tan metrik padi, yang menepati kualiti pemutuan 20 peratus pemotongan, beliau layak mendapat bayaran hasil jualan sebanyak 5,760 ringgit.

155. Bukan itu sahaja, petani tersebut juga akan menerima penambahan menerusi peningkatan kadar SSHP, menjadikan jumlah pendapatannya meningkat daripada 1,190 ringgit kepada 1,440 ringgit.

156. Maka, secara keseluruhannya, setelah ini, petani tersebut akan mendapat 7,200 ringgit, pada setiap kali penuaian. Suka saya menyatakan di sini, seramai 155 ribu pesawah akan menikmati penambahbaikan skim ini.

157. Langkah Dua: Seperti kita tahu, isu pemilikan rumah adalah isu yang sering dibangkitkan semenjak beberapa tahun ini. Pelaksanaannya memerlukan penglibatan pelbagai agensi.

Tuan Yang Dipertua,

158. Bajet 2016, meneruskan pelbagai program pemilikan rumah bagi segenap lapisan pendapatan seperti berikut:

Pertama: Membina 175 ribu unit rumah oleh PR1MA, yang dijual 20 peratus di bawah harga pasaran, dengan peruntukan 1.6 bilion ringgit. Sebanyak 10 ribu unit dijangka siap tahun hadapan;

Kedua: Membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad, dengan pemberian subsidi 20 ribu ringgit bagi seunit rumah dengan peruntukan 200 juta ringgit;

Ketiga: Membina 100 ribu unit rumah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M, menjelang tahun 2018, dengan harga di antara 90 hingga 300 ribu ringgit. Bantuan Dana Mudahcara sehingga 25 peratus daripada kos pembangunan disediakan;

Keempat: Membina 22,300 unit pangsapuri dan 9,800 unit rumah teres di bawah Program Perumahan Rakyat oleh KPKT dengan peruntukan 863 juta ringgit;

Kelima: Menyediakan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama di bawah KPKT, sebagai sumbangan kepada pembeli rumah pertama untuk rumah mampu milik bagi tujuan bayaran deposit. Untuk ini, 200 juta ringgit diperuntukan;

Keenam: Membina 5 ribu unit rumah PR1MA dan PPA1M di 10 lokasi sekitar stesen dan koridor LRT serta monorel, antaranya di Pandan Jaya, Sentul dan Titiwangsa;

Ketujuh: Memperuntukkan 60 juta ringgit kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli khusus untuk pembinaan rumah masyarakat Orang Asli;

Kelapan: Membina rumah untuk generasi kedua peneroka, iaitu 20 ribu unit rumah oleh FELDA, 2 ribu unit rumah oleh FELCRA dan 2 ribu unit rumah oleh RISDA.

Bagi rumah FELDA, harga maksima kini diturunkan kepada 70 ribu ringgit berbanding 90 ribu ringgit sebelum ini;

Kesembilan: Membina 800 unit rumah mampu milik oleh GLC berhampiran stesen MRT dalam Kawasan Pusat Bandar Kwasa Damansara oleh Kwasa Land milik KWSP, dan 4,600 unit rumah mampu milik oleh Sime Darby Property; dan

Kesepuluh: Memperuntukkan 40 juta ringgit di bawah KPKT, bagi pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai.

Selain itu, pengecualian duti setem diberikan ke atas surat cara pembiayaan pinjaman kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai.

Tuan Yang Dipertua,

159. Seterusnya, bagi menyediakan persekitaran penduduk yang selesa, langkah berikut akan dilaksanakan:

Pertama: 150 juta ringgit bagi membina dan membaik pulih 11 ribu rumah daif di kawasan luar bandar oleh KKLW; dan

Kedua: 155 juta ringgit bagi penyelenggaraan perumahan awam kos rendah, dan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia oleh KPKT. Antara lain, tabung ini membolehkan pembiayaan 100 peratus untuk pembaikan lif, railing, serta pendawaian semula.

Tuan Yang Dipertua,

160. Langkah Tiga: Sememangnya, negara mana yang tidak mahu kualiti perkhidmatan kesihatan terbaik dan bertaraf dunia. Inilah yang sentiasa diperjuangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu, kini dan selamanya. Antara projek yang akan dilaksanakan adalah:

Pertama: Membina 5 hospital baru di Pasir Gudang, Kemaman, Pendang, Maran dan di Cyberjaya;

Kedua: Memulakan operasi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur, yang bernilai 848 juta ringgit pada Oktober 2016;

Ketiga: Projek Pembangunan Semula Hospital Kajang;

Keempat: 260 juta ringgit bagi membina dan menaik taraf klinik desa, klinik kesihatan dan klinik pergigian, berserta kuarters di seluruh negara;

Kelima: 52 juta ringgit bagi operasi 328 klinik 1Malaysia sedia ada, dan pembukaan 33 klinik 1Malaysia baharu;

Keenam: 72 juta ringgit untuk bantuan perubatan, termasuk hemodialisis, yang memanfaatkan hampir 10 ribu pesakit kurang berkemampuan; dan

Ketujuh: 4.6 bilion ringgit untuk bekalan ubat, consumables, vaksin dan reagents kepada semua hospital dan klinik Kerajaan.

161. Bermula 1 Januari 2016 juga, Kerajaan akan mengenakan caj penuh rawatan kepada pesakit bukan warganegara Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

162. Langkah Empat: Kerajaan akan terus memperkukuh sistem jaringan perlindungan sosial dengan peruntukan hampir 2 bilion ringgit kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, untuk membantu golongan OKU, warga emas dan keluarga miskin. Untuk tujuan ini, antara program yang akan dilaksanakan adalah:

Pertama: 445 juta ringgit bagi meneruskan pemberian 350 ringgit sebulan kepada OKU bekerja dan 200 ringgit sebulan kepada OKU yang tidak bekerja serta untuk penjagaan OKU terlantar sebanyak 300 ringgit sebulan. Kesemuanya ini, akan memanfaatkan hampir 150 ribu OKU;

Kedua: 100 juta ringgit disediakan termasuk untuk menambah 20 lagi buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti; dan

Ketiga: Bantuan 662 juta ringgit untuk anak daripada keluarga miskin berjumlah 100 hingga 450 ringgit sebulan, serta warga emas miskin sebanyak 300 ringgit sebulan.

Tuan Yang Dipertua,

163. Dalam setahun yang lepas, negara telah dilanda dua bencana yang besar, iaitu banjir besar pada penghujung 2014, dan gempa bumi di Ranau, Sabah. Musibah dan tragedi ini, jika tidak diambil langkah yang proaktif, boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit dan lebih penting lagi, kehilangan nyawa dan anggota.

164. Maka, bagi memperkukuh pengurusan bencana alam, 180 juta ringgit disediakan termasuk untuk penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara di bawah JPM.

165. Seterusnya, 730 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir di seluruh negara. Manakala, 60 juta ringgit untuk Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara serta membangunkan Sub-Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional di Sabah.

Tuan Yang Dipertua,

Ahli-Ahli Dewan yang mulia serta Rakyat Malaysia Sekalian,

166. Jelasnya, apa yang pentadbiran Kerajaan sedia ada selama ini, sedang lakukan dan laksanakan, dengan sehabis baik ini,…Sebetulnya, merupakan tali-temali, sambung menyambung dasar serta perancangan pimpinan negara, sejak dekad-berdekad.

167. Lantas,… ingin saya ulangi,.. Bajet ini,…satu antara langkah dalam rantaian langkah-langkah besar terakhir,…yang hanya tinggal sedikit masa lagi sebelum mentari sebagai negara maju, menzahirkan cahayanya.

168. Pucuk pangkalnya, sebagaimana baik pun perancangan yang dibuat, sedemikian apapun rencana yang disusun, hukum hakam dan resmi bernegara, seperti tercatat dalam tawarikh kehidupan, membuktikan bahawa, hatta sebuah tamadun pun akan gagal jikamana kerukunan, kestabilan dan kebersatuan negara tidak diperkekalkan.

Tuan Yang Dipertua,

169. Oleh sebab itulah, tatkala membicarakan tentang ketenteraman tanahair, tiada kalimah sebagai ibarat, tiada kata sebagai umpama, yang dapat menunjukkan betapa kita berterima kasih dan menghargai jasa serta pengorbanan anggota keselamatan, mahupun para perajurit dalam menjamin keamanan pertiwi.

170. Oleh yang demikian, Kerajaan komited untuk melaksanakan pelan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia atau ATM secara berperingkat.

171. Sehubungan itu, sebanyak 17.3 bilion ringgit disediakan untuk Kementerian Pertahanan. Antaranya, bagi perolehan 6 buah Littoral Combatant Ship, sistem persenjataan Very Short Range Air Defence, kereta berperisai dan pesawat Airbus A-400M.

172. Tambahan lagi, ATM akan diperlengkapkan dengan teknologi terkini, termasuk penggunaan Unmanned Airborne System untuk meningkatkan keupayaan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance.

173. Sejumlah 523 juta ringgit pula, diperuntukkan untuk pembangunan kem tentera darat ESSCOM di FELDA Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

174. Seterusnya, bagi mengenang jasa dan khidmat bakti wira-wira kita, sebanyak, 160 juta ringgit diperuntuk bagi membina 4 ribu unit lagi kuarters anggota Angkatan Tentera Malaysia.

175. Tidak cukup sekadar itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, sedang merancang untuk membina tambahan 2 ribu unit lagi rumah mampu milik, kepada anggotanya bermula tahun hadapan.

176. Di samping itu, Kerajaan bersetuju supaya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, diperuntukkan sejumlah 864 juta ringgit, bertujuan antaranya, perolehan Offshore Patrol Vessel dan kapal peronda.

177. Manakala, bagi mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam dalam negeri, untuk terus mengurangkan kadar jenayah,… sejumlah 13.1 bilion ringgit disediakan. Inisiatif-inisiatif berikut akan dilaksanakan:

Pertama: 155 juta ringgit untuk pembinaan 2 buah Ibu Pejabat Polis Daerah atau IPD baharu, iaitu di Lawas, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah, serta 10 buah IPD dan 5 buah balai polis yang masih dalam pembinaan;

Kedua: Merancang untuk membina 2 ribu unit lagi rumah mampu milik bagi anggota Polis Diraja Malaysia atau PDRM, antaranya di Rawang dan kawasan-kawasan yang sedang dikenalpasti;

Ketiga: 36 juta ringgit untuk membina pejabat, kuarters dan menaiktaraf depoh tahanan imigresen;

Keempat: 50 juta ringgit bagi mempertingkatkan langkah keselamatan penjara; dan

Kelima: 20 juta ringgit untuk Program Bandar Selamat di 60 kawasan hitam, antaranya melalui pengasingan laluan pejalan kaki dan pencahayaan di kawasan tersebut.

Sukacita saya mengumumkan, penambahan 500 unit Rondaan Bermotosikal PDRM lagi, dan 500 unit lagi kereta peronda, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak 35 juta ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

178. Bagi menguatkan lagi usaha integriti dan mengurangkan ketirisan serta rasuah, SPRM akan terus dimantapkan dengan program-program serta latihan yang relevan. Dengan ini, bilangan pegawai SPRM akan turut ditambah mengikut keperluan.

179. Merujuk kepada falsafah Rancangan Malaysia Kesebelas lagi, Tuan Yang Dipertua, sepertimana yang telah saya nyatakan di awal ucapan tadi, tentang rupawajah dan warna-warna kemajuan negara serta sahsiah rakyat yang kita dambakan, ketikamana memasuki gelanggang negara maju kelak, dalam apa jua yang direncanakan, seperti dokumen Bajet ini,… perihal kebajikan dan kepentingan rakyat, menjadi keutamaan.

180. Sepertimana ramai makrufi,… Malaysia kontemporari ini, sudah pun dikenali sebagai sebuah negara Islam yang progresif lagi dinamik, sehingga disegani di seantero dunia. Sejak tahun-tahun kebelakangan,… Kerajaan sedang menuju maksud dalam usaha menepati kerangka Maqasid Syariah dan pengertian wasatiyyah.

181. Walau apapun, untuk memenuhi tuntutan maqasid syariah, bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi, berkait ciri kemajmukan rakyat di negara ini.

182. Sememangnya pun, tanpa disedari, sejak meraih kemerdekaan, kita telah mengamalkan objektif tersebut dengan prinsip kesederhanaan yang begitu tersendiri.

183. Berdiri di atas asas ini, kita telah berjaya membina sebuah negara yang makmur, aman dan sentosa.

184. Di sudut ini,… tidak ada sesiapa yang dapat menafikan bahawa tunjang dan tonggak kepada urusan pentadbiran negara adalah para kakitangan awam.

185. Oleh itu, marilah kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada lebih 1.6 juta mereka yang berjasa ini.

186. Pucuk dicita ulam pun mendatang, saat dinanti kini menjelang. Bagi Menghargai Perkhidmatan Awam, atas segala sumbangan dan khidmat bakti kepada negara, Kerajaan bersetuju:

Pertama : Memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred yang akan memanfaatkan 1.6 juta warganya dengan peruntukan 1.1 bilion ringgit;

Kedua : Menambah baik sebanyak 252 skim perkhidmatan yang akan memanfaatkan 406 ribu penjawat awam;

Ketiga : Menetapkan gaji permulaan terendah dalam Perkhidmatan Awam kepada 1,200 ringgit sebulan yang akan memanfaatkan 60 ribu penjawat awam;

Keempat : Menetapkan kadar pencen minimum sebanyak 950 ringgit sebulan, yang akan melibatkan hampir 50 ribu pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan; dan

Kelima : Melantik secara tetap pegawai lantikan Contract of Service yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun. Ini akan memanfaatkan lebih 10 ribu pegawai kontrak.

187. Pelaksanaan kesemua langkah ini Tuan Yang Dipertua, akan berkuatkuasa pada 1 haribulan Julai 2016 dengan peruntukan sebanyak 1.4 bilion ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

188. Bagi merealisasikan harapan, seperti yang dijanjikan, dalam ikhtiar meringankan kos sara hidup rakyat pula, Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M akan diteruskan.

189. Saya tahu benar,… ada pihak yang mengatakan bahawa BR1M tidak perlu diteruskan. Namun, melalui maklum balas yang diterima, mereka sangat bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan ini, kerana terbukti, Bantuan Rakyat 1Malaysia tersebut telah sedikit sebanyak membantu meringankan beban hidup mereka.

190. Sehubungan yang demikian,… selaras dengan Aku Janji Kerajaan Barisan Nasional juga, sukacita saya umumkan, jumlah BR1M untuk tahun 2016 akan dinaikkan seperti berikut:

Pertama: Satu kategori baru diperkenalkan bagi semua penerima di dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah 1,000 ringgit, akan menerima BR1M sebanyak 1,050 ringgit;

Kedua: Bagi isi rumah berpendapatan bulanan 3 ribu ringgit ke bawah, BR1M ditingkatkan daripada 950 ringgit kepada seribu ringgit;

Ketiga: Bagi isi rumah berpendapatan antara 3,001 hingga 4 ribu ringgit, pemberian BR1M ditingkatkan daripada 750 ringgit kepada 800 ringgit;

Keempat: Bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian sebanyak seribu ringgit akan diteruskan; dan

Kelima: Bagi kategori individu bujang pula, yang berumur 21 tahun dan ke atas, serta berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan, kadar bantuan akan ditingkatkan daripada 350 ringgit kepada 400 ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

191. Keseluruhannya, kesemua bantuan ini akan memanfaatkan sebanyak 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang, dengan peruntukan 5.9 bilion ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

192. Jika, dalam RMK-11, saya telah menyebut tentang kelompok B40, dan tafsiran kumpulan yang terlibat, maka dalam Bajet ini, satu lagi kumpulan besar yang Kerajaan kini akan turut memberi tumpuan bergelar M40.

193. Secara statistiknya, tafsiran awal M40 adalah, kelompok isirumah yang berpendapatan antara 3,860 ringgit hingga 8,320 ringgit. Namun, definisi M40 ini, akan terus Kerajaan perincikan dari masa ke semasa.

194. Dalam hal ini, sukacita saya umumkan:

Pertama: Had pelepasan cukai bagi setiap anak berumur di bawah 18 tahun mulai taksiran 2016, digandakan daripada 1 ribu ringgit kepada 2 ribu ringgit;

Kedua: Pelepasan cukai bagi pembayar individu yang pasangannya tidak mempunyai pendapatan, dinaikkan daripada 3 ribu ringgit kepada 4 ribu ringgit;

Ketiga: Jika buat masa ini, pembayar cukai individu diberi pelepasan sehingga 5 ribu ringgit setahun bagi tujuan perubatan dan penjagaan terhad hanya kepada ibubapa mereka yang sakit.

Dalam Bajet ini, Kerajaan memandang positif sikap anak yang mengambil berat terhadap kebajikan ibubapa mereka dan mengalu-alukan pengukuhan institusi kekeluargaan.

Sehubungan itu, buat julung kalinya, anak-anak yang menyara ibubapa mereka, meskipun tidak tinggal bersama, akan diberi pelepasan cukai terkumpul sebanyak 1,500 ringgit untuk ibu, dan 1,500 ringgit lagi untuk bapa.

Tapi,…dengan syaratnya, ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi 2 ribu ringgit sebulan dan berumur 60 tahun ke atas; dan

Keempat: Sempena Bajet ini juga, Kerajaan memutuskan, untuk menaikkan had pelepasan cukai daripada 6 ribu ringgit kepada 8 ribu ringgit, bagi setiap anak berumur 18 tahun dan ke atas, yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian dalam dan luar negara, mulai tahun taksiran 2016; dan

Kelima: Bagi ibubapa kepada anak-anak Orang Kurang Upaya-nya, yang sedang melanjutkan pengajian di institusi dalam dan luar negara, had pelepasan cukai dinaikkan daripada 6 ribu ringgit kepada 8 ribu ringgit, mulai tahun taksiran 2016.

Ingin saya tambah di sini, had pelepasan cukai sedia ada bagi ibubapa yang mempunyai anak OKU adalah 6 ribu ringgit. Ini bermakna, sekiranya anak OKU ini melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara, jumlah pelepasan cukai yang boleh dituntut secara keseluruhannya, adalah sebanyak 14 ribu ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

195. Seterusnya, untuk membolehkan lebih ramai pekerja mendapat manfaat di bawah PERKESO, kelayakan caruman wajib dinaikkan daripada gaji 3 ribu ringgit kepada 4 ribu ringgit sebulan. Pengubahsuaian ini, memanfaatkan kepada 500 ribu pekerja, di mana jika si pencarum meninggal dunia dalam tempoh kerja, waris akan menerima bayaran bulanan sehingga 90 peratus pendapatan bulanan terakhir beliau.

Tuan Yang Dipertua,

196. Secara kesimpulannya, selama puluhan tahun, Kerajaan Barisan Nasional telah memikul mandat dan menggalas kepercayaan rakyat. Kerajaan ini juga telah secara berterusan melunaskan serta melangsaikan janji-janji yang dilafaz dan dicatat. Ini bererti, Kerajaan yang mentadbir sekian waktu ini jua, terserlah mempunyai visi dan halatuju yang jelas.

197. Apa yang mustahak, untuk dinyata dan dipertegaskan sekali lagi, kita terus mendapat pengiktirafan-pengiktirafan daripada pengabsah-pengabsah berwibawa tinggi di dunia, antaranya agensi-agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Moody’s dan Standard & Poor’s, yang telah memberi gambaran sebenar, tentang keadaan serta pengurusan ekonomi Malaysia.

198. Malah,… pelbagai pencapaian telah kita raih, antaranya yang terkini, kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Global 2015-2016 oleh World Economic Forum, melonjak dua anak tangga kepada kedudukan 18 daripada 140 negara utama ekonomi di dunia.

199. Kepada rakyat sekalian,… usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah. Jelas sekali,… dengan rekod pencapaian yang cemerlang,… antaranya yang telah saya tuturkan di awal ucapan tadi, maka letakkanlah keyakinan,… taruhlah harapan, bahawa,… inilah Kerajaan yang boleh dibergantung harap, demi masa depan hari muka, anak cucu dan keturunan kita.

200. Dalam apa jua keadaan, saya dan rakan-rakan akan meneruskan perancangan ekonomi negara, dengan mengutamakan serta mendahulukan kesejahteraan rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

201. Pokoknya,… bagi Kerajaan ini,… rakyat adalah segala-galanya. Khabar bahagia sudahpun tiba. Maka, ingin saya umumkan, berkuatkuasa 1 Julai 2016, gaji minimum negara dinaikkan daripada 900 ringgit kepada 1,000 ringgit sebulan bagi Semenanjung, dan daripada 800 ringgit kepada 920 ringgit sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Gaji minimum ini melibatkan semua sektor, kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah.

Tuan Yang Dipertua,

202. Tidak cukup sekadar itu,… bagi meringankan beban kos sara hidup kepada semua penjawat awam, Kerajaan bersetuju dengan pemberian khas sebanyak 500 ringgit kepada semua penjawat awam.

203. Manakala, bagi 700 ribu pesara Kerajaan pula, bayaran khas 250 ringgit disediakan. Kedua-dua bayaran ini, yang berjumlah hampir 1 bilion ringgit akan dibuat pada bulan Januari 2016.

Tuan Yang Dipertua,

204. Demikianlah, Kerajaan ini tanpa jemu-jemu dan putus-putus ingin membuat kebaikan dan kebajikan kepada sekalian rakyat. Sejak dulu, kesemuanya tidak terbina dengan mudah atau dalam sekelip mata. Ia menuntut kesungguhan dan pengorbanan atas nama kebaktian pada nusa dan bangsa.

205. Lalunya, berbicara tentang betapa susah dan jerih payahnya membina Malaysia tercinta ini,… kita berasa kesal, bahkan sebenarnya, kita amat-amat kesal, dengan tindak-tanduk tidak bertanggungjawab oleh musuh dari dalam, mahupun luar, yang cuba mempalit dan merosakkan imej negara ini.

206. Pada kita,… perbuatan segelintir pihak ini, akan hanya memporak-perandakan, sampai boleh memusnahkan apa yang terbina selama ini.

207. Waima, wujud sesetengah orang, yang kita sendiri kadang-kadang tidak tersangka-sangka, atau terduga-duga, ibarat api di dalam sekam,…menjadi gunting dalam lipatan.

Tuan Yang Dipertua serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi sekalian,…

208. Dalam menghela nafas keinsafan, saya perakui,… benarlah saya ini seorang pemimpin, tetapi saya juga manusia biasa seperti saudara saudari sekalian. Kita sama-sama ada kelebihan dan kelemahan di sana sini.

209. Sayugia,… sambil merujuk-rujuk mafhum tafsir daripada surah Yusuf, bahawa,… Tuhan tidak menyuruh kita berhenti dari berusaha,… Tuhan juga tidak benarkan kita sesekali berputus asa dari rahmatNya,… dan apatah lagi sesungguhnya,… Tuhan juga tetap menjanjikan kepada hamba-hambanya yang berislah dan beriltizam, bahawa,… kejayaan pasti menjelma jua.

210. Sebab itu,… Tuan yang Dipertua,… sudah menjadi adat orang berjuang, pasti akan menempuh rintangan dan dugaan. Namun,… biar pun berjuta gugatan menghalang, biar menggunung ombak mendatang, kita,…kita tidak akan sesekali berputus harapan.

211. Kini,…Tuan Yang Dipertua, saya,… bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,… berserta anggota pentadbiran dan pimpinan-pimpinan Barisan Nasional,… sehati sejiwa,… akan tetap tabah dan bertawakal meneruskan perjuangan yang mulia ini.

212. Nescaya, dengan dipersaksikan masa dan dineraca oleh waktu,… yang benar tetap benar,… sejarahnya kelak menjadi bukti.

213. Akhir kalam,… bak kata para hukama’,… yang indah-indah itu dari Ilahi dan yang kurang itu sifat insani. Marilah kita berdoa kepada Maha Pencipta, agar tiap sesuatu akan kembali pulih seperti sediakala. Semoga Bajet ini dilimpah-limpah Rahmat-Nya dan membawa sentosa kepada semua.

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Friday 2 October 2015

PM Najib admits that 1MDB model was flawed and too idealistic

Yesterday, PM Najib had a dialogue with a bunch of high powered financial people in New York where he discussed the following:

- Najib acknowledged that 1MDB's business model was flawed as it was too idealistic and went into heavy debt financing - with only RM1mil (not RM1b) paid up capital to undertake huge property development and acquisition of power generation plants.
This is true. He could have used the past govt models of borrowing at Federal Govt level (ala Perwaja Steel) and then inject RM5b as shareholders fund into 1MDB instead of borrowing at company level and hence forcing the company to pay back the interests.   
As in the case of Perwaja, govts of the past would have just injected more capital into it if the company experiences losses after losses and bailed it out time and again - but this time around, Najib's govt resisted this temptation and forced 1MDB to solve its own problems.
However, borrowing at Federal Govt level could have breached the 55% Debt to Capital ceiling imposed by the govt on itself and stopped other capital development projects in our yearly budget.

- Najib said the business plan got derailed after the planned Edra Energy IPO was delayed and subsequently cancelled and this got 1MDB into cash-flow trouble.
Actually, PM could have made this IPO a success if he had followed Tun M model and had instructed the Energy Commission to award 1MDB the highest tariffs among the IPP and/or extend the IPP concessions - instead, 1MDB bid the lowest tariffs for all their projects - hence making it less profitable and less attractive as an IPO.  
Other than this, the IPO was also delayed due to incomplete submission amidst very stringent requirements from the Securities Commission. Govts of the past would have forced the SC to simply approve this IPO and forced all the govt-linked funds to subscribe for the Edra Energy IPO.  
Again, PM Najib's govt resisted this temptation.

-  Najib said the 1MDB rationalisation scheme to ease its cash flow problems and reduce debt is on track and he had committed to the Cabinet that the problems would be substantially resolved by the end of this year. “So I’m quite confident that by the end of the year, we’ll be able to show that 1MDB is a company that is able to go through the process of rationalisation with a massive reduction of debt,” he said.
1MDB had done quite a bit over the past year after Arul Kanda took over as President. A recent update by 1MDB states that:
  • 1MDB has successfully sold, in 2015, over RM 1 billion of land in TRX. This is actually more as it did not seem to have included the equity accounting of the 60-40 JV at TRX with Lend Lease worth RM8b earlier this year which would have meant another RM3.2 billion "sales" to 1MDB for the year. 
  • 1MDB has also called for tender for the sale of the Penang land worth RM1 billion and the Pulau Indah land worth RM300 million - but this seems to have just started.
  • Final, binding bids will be received from domestic and international shortlisted bidders for both Edra Energy and Bandar Malaysia between mid-end October 2015, with Sale & Purchase Agreements (SPA) for both assets being executed by December 2015 
  • 1MDB has consistently met, with no default, its interest service and principal repayment obligations, to both foreign and domestic lenders.
In fact, Arul Kanda also confirmed in an interview with BBC earlier this week that the end of the year target for rationalization is on schedule - but he dropped hints that in January and February, 1MDB could even post a surplus!! Good luck to Arul.

- PM Najib also declared that there would be an announcement “in the coming days” on the significant reduction of 1MDB debt to the tune of RM16bil.
This appears related to the USD4.5 billion asset-debt deal signed with the Abu Dhabi government fund IPIC in June 2015. USD 1 billion has already been paid to 1MDB with USD3.5 billion remaining. It has been reported that this deal involved transferring USD4.5 billion of 1MDB's financial assets (non-land and not the power plants) to IPIC and in return, other than the USD1 billion already paid, IPIC will take over USD3.5 billion (about RM16 billion) of 1MDB's debts. 
These USD4.5 billion financial assets of 1MDB has been invested in various partnerships with IPIC and its subsidiary, Aabar capital and includes the alleged missing USD1.4 billion payment to IPIC and another USD1 billion payment missing to IPIC - both incidents was alleged over the past month by Wall Street Journal in its articles. 
Such financial assets also includes the alleged BSI Singapore and Cayman Island funds that were allegedly units but not cash. 
Now, if IPIC and 1MDB announces the full signing of this agreement in the coming days as what PM Najib told in New York and CLEARLY list down all the 1MDB financial assets to be sold to IPIC that Najib's critics continually alleges to have gone missing, this essentially PROVES that these assets have not gone missing - as confirmed by 1MDB auditors KPMG and Deloitte.  
If these financial assets are missing as alleged by the critics, then why would IPIC essentially pay USD4.5 billion to take them over?

- Najib also said that there are two very real and huge proposals on the table to take off the Edra assets, domestically as well as foreign – two foreign sources combining to make a very attractive offer.
1MDB had paid RM18 billion (RM12b cash and RM6b to assume the debts) to buy over these power assets. It has been reported by the Edge and also by other sources that the price offered by these two foreign sources combining to make a very attractive offer could be above RM20 billion - meaning that 1MDB could even make a profit from this.
So much for the 1MDB critics who continually allege that 1MDB overpaid RM2 billion for all these power assets. Instead of over-paying RM2 billion, it is possible that 1MDB could make RM2 billion - and this would be a big slap to the critics. 
However, this deal could come in for a lot of public criticism soon as there may be public protests against selling of domestic IPPs (5 out of Edra's 15 plants are in Malaysia) to foreign interests. Let's see how 1MDB and govt handle this.

I am happy that PM Najib has admitted to 1MDB being flawed but has taken responsibility to solve it. It is clear that PM Najib and 1MDB is working hard to keep to their commitments for a year-end resolution to 1MDB's debt issue and its rationalization plans - without a need for a government bail-out as was the case for similar trophy projects in the past.

And as time passes by, it seems that we will get a much clearer picture of the actual 1MDB situation and story.

If the above 1MDB rationalization steps is completed in the coming days and months and 1MDB actually makes money - with a surplus in January and February next year - as hinted by Arul Kanda, what would the critics say now?

Would they say sorry? Or would they grudgingly say "well done" to Najib, Arul and to 1MDB?